Latar belakang laluan Laluan_Persekutuan_Malaysia_68

Jalan Gombak bermula di Persimpangan Setapak, di mana ia dihubungkan dengan Jalan Pahang FT2 dan Jalan Genting Klang. Namun, Jalan Gombak masih merupakan sebahagian jajaran FT2 sehingga ke simpang Kampung Bandar Dalam, di mana laluan FT2 dilencongkan ke Jalan Kampung Bandar Dalam FT2 sementara kod laluan Jalan Gombak bertukar kepada FT68.[4][5][6]

Jajaran dari permulaannya di Persimpangan Setapak sehingga Persimpangan Batu 8 merupakan jalan raya kembar dengan had laju 60 km/j. Selepas Persimpangan Batu 8, jalan FT68 menjadi jalan raya tunggal tetapi mengekalkan had laju 60 km/j berikutan keadaan jalan yang lebih sempit. Selepas Kampung Sungai Rumput, Jalan Gombak FT68 menjadi semakin berkelok-kelok, menyebabkan had lajunya diturunkan kepada 50 km/j.[5] Pada kedudukan tersebut, Jalan Gombak FT68 mula mendaki Banjaran Titiwangsa sehingga sempadan negeri Selangor-Pahang di mana ia dihubungkan dengan Jalan Genting Sempah-Genting Highlands dan bertindih dengannya sehingga ke Bulatan Genting Sempah yang menghubungkan jalan FT68 dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2.[4][5]

Dari Genting Sempah, Jalan Gombak FT68 menuruni Banjaran Titiwangsa, melalui pekan Bukit Tinggi di sepanjang laluannya. 7 km sebelum jalan berakhir, jalan FT68 dihubungkan ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 buat kali terakhir melalui sebatang jalan cabang pendek sepanjang 400 m. Jalan Gombak FT68 berakhir di Persimpangan Ketari berhampiran Bentong, di mana ia dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 8.[5][4]